Friday, August 26, 2011

RAMADAN DITANGISI SYAWAL DIRAI

Tazkirah Jumaat
26 Ogos 2011 (26 Ramadhan 1432H)


RAMADAN DITANGISI SYAWAL DIRAI

Tangisilah pemergian tetamu mulia bernama Ramadhan yang akan pergi meninggalkan kita disaat kita cuba untuk rapat dengannya dan cubalah untuk mendapatkan hadiah Lailatul Qadar sebelum ia berlalu pergi. Tetamu ini juga datang bersama rahmat, keampunan dan kemerdekaan daripada api neraka. Sia-sialah puasa jika tidak mendapat rahmat, keampunan dan kemerdekaan api neraka. Ramadan juga adalah bulan yang panas, yang didatangkan untuk membakar nafsu dan nilai-nilai buruk yang telah diterapkan oleh syaitan selama 11 bulan sebelumnya. Nilailah amalan kita sebelum ini dan perkasakan ibadah puasa disaat akhir ini agar kita dapat kembali kepada fitrah yang asal pada 1 Syawal.

Selamat Kembali Pada Fitrah Yang Asal

Hari raya Aidil Fitri ialah satu hari kebesaran dimana orang Islam yang berpuasa kembali kepada fitrah (keadaan)nya yang asal iaitu keadaan yang tidak berdosa (suci) setelah mendapat keampunan daripada Allah s.w.t. pada pagi 1 Syawal sekiranya disiplin puasa dijaga dan zakat fitrah dibayar sebelum sembahyang hari raya. Rasulullah s.a.w. bersabda “Siallah(rugilah) puasa orang yang tidak mendapat keampunan ”.

Syarat untuk mendapat keampunan ini ialah kita hendaklah menjaga disiplin dan pantang larang dalam berpuasa. Selain itu kita juga membayar zakat fitrah iaitu suatu zakat peribadi untuk menampung kekurangan atau perlanggaran pantang larang (accident) yang berlaku sepanjang berpuasa. Kita perlu iklhas dalam membayar zakat fitrah kerana ia dapat memperbaiki kedudukan puasa kita. Zakat fitrah itu juga memberi kekuatan untuk ibadat puasa itu naik ke langit dan dipersembahkan kepada Allah s.w.t:

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas yang menyebut; “Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang berpuasa dari perkara sia-sia dan ucapan-ucapan kotor dan juga sebagai makanan kepada fakir miskin” (Riwayat Imam Abu Daud , Ibnu Majah dan al-Hakim)

Kita perlu membayar zakat fitrah sebelum sembahyang hari raya untuk menampung kekurangan ibadah puasa kita. Jika dilakukan selepas sembahyang hari raya, ia hanya menjadi sedekah biasa dan amalan puasa itu tergantung ke langit dan tidak dipersembahkan kepada Allah.

Dari Ibn Abbas r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang maqbul dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedekah biasa seperti sedekah-sedekah sunat yang lain (Riwayat Abu Daud).

Daripada Jarir r.a., beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : “Puasa sebulan Ramadhan tergantung antara langit dan bumi ; dan tidak akan terangkat dari tempat itu , kecuali dengan zakat fitrah.” (Riwayat Abu Hafsh bin Syahin)

Zakat merupakan hubungan sesama manusia dan Allah s.w.t. gembira apabila melihat orang yang kaya membantu orang yang miskin. Zakat fitrah afdal dilakukan pada pagi hari raya untuk diberikan kepada orang miskin menyambut hari raya, tetapi untuk mengelakkan kesesakan bolehlah dibayar lebih awal.

Setelah mendapat keampunan daripada Allah s.w.t pada 1 Syawal, kita melakukan sembahyang hari raya. Dari segi hukum, sembahyang hari raya adalah sunat dalam 3 mazhab (Syafie, Maliki dan Hanbali) dan wajib dalam mazhab Hanafi (kerana Rasulullah s.w.t tidak pernah meninggalkannya).

Walapun dosa kepada Allah sudah diampunkan, dosa sesama manusia masih belum suci. dan kita hendaklah memohon kemaafan daripada manusia kerana dosa sesama manusia hanya boleh dimaafkan oleh manusia. Jika kita tidak mohon kemaafan di sini (dunia) kita akan bankrap atau muflis di sana (akhirat).

Selain itu cantikkan (hiasi) hari raya dengan bertakbir (membesarkan Allah).

Baqarah [185]…dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.

Bagi hari raya Aidil Fitri, kita boleh bertakbir selama 1 hari iaitu 5 waktu sembahyang mulai selepas Maghrib malam hari raya, diikuti Isya’, Subuh, Zohor dan berakhir selepas waktu Asar. Hukum takbir raya selepas sembahyang berjemaah ialah sunat dalam mazhab Syafie tetapi wajib dalam mazhab Hanafi.

Bersyukurlah kepada Allah yang “As-Syakur” yang membalas dan memberi pahala ibadah puasa dengan pahala yang sangat besar nilainya kerana ia suatu ibadah yang tersembunyi (tiada pengecaman terhadap orang yang berpuasa semata-mata untuknya).

Selain itu orang yang berpuasa dengan cukup syarat-syaratnya juga mendapat kemerdekaan daripada api neraka. Hari raya yang sebenar dan yang paling besar ialah kejayaan memasuki syurga. Dalam hadith disebut “Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya. Orang berpuasa akan gembira bila bertemu Allah setelah berlapar di dunia, kerana mereka berlapar semata-mata kerana Allah. Orang berpuasa bebas masuk pintu mana-mana syurga walaupun ada satu pintu yang khas untuk orang berpuasa yang dikenali sebagai Ar-Rayyan.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/08/25/ramadan-ditangisi-syawal-dirai/

FIKIR KEBESARAN ALLAH DI 10 AKHIR RAMADAN DAN DI MALAM LAILATUL QADAR

Tazkirah Jumaat
19 Ogos 2011 (19 Ramadhan 1432H)


FIKIR KEBESARAN ALLAH DI 10 AKHIR RAMADAN DAN DI MALAM LAILATUL QADAR

Selain beribadah kita juga boleh menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan memikirkan kebesaran Allah. Jika dihadiahkan Lailatul Qadar maka kita akan mendapat kelebihan berfikir kebesaran Allah selama 1,000 tahun dan jika tidak sekalipun kita tetap akan mendapat keampunannya. Di sini disenaraikan antara kebesaran yang diceritakan Allah s.w.t. sendiri di dalam Al-Quran.

Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin, (Zariyat:20) Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)? (Zariyat:21).

Fikirkan kebesaran Allah yang menurunkan hujan daripada air laut yang masin dan Allah menyulingnya sehingga ia menjadi tawar.

Al-Waqiah [69] Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan) atau Kami yang menurunkannya?Al-Waqiah [70] Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan ia masin, maka ada baiknya kalau kamu bersyukur

Fikir kebesaran Allah memisahkan hampas makanan dan susu yang berada dalam kilang perut dan menghasilkan susu yang lazat diminum yang berasal daripada darah. Susu lembu atau kambing dan juga susu ibu itu sedap diminum tanpa berbau darah.

An-Nahl [66] Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.

Fikirkan kebesaran Allah mencipta tulang yang keras daripada air mani yang lembut dan daripada air ini juga membentuk mata dan otak. Hanya s.w.t. Allah sahaja yang boleh mencipta benda keras dari benda yang lembut.

Mukminun [14] Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipt

Fikir kebesaran Allah mencipta manusia dalam 3 kegelapan iaitu kegelapan dalam perut, dalam rahim dan tembuni bayi:

Az-Zumar [6] Dia menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), kemudian Dia menjadikan daripadanya, isterinya (Hawa) dan Dia mengadakan untuk kamu binatang-binatang ternak lapan ekor: (Empat) pasangan (jantan dan betina). Dia menciptakan kamu dalam kandungan ibu kamu (berperingkat-peringkat) dari satu kejadian ke satu kejadian. Dalam tiga suasana yang gelap-gelita. Yang demikian (kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu; bagiNyalah kekuasaan yang mutlak; tiada Tuhan melainkan Dia; oleh itu bagaimana kamu dapat dipesongkan (dari mematuhi perintahNya)?

Fikir kebesaran Allah mencipta cap jari yang berbeza bagi setiap manusia di dalam satu kawasan yang ibu jari yang kecil (biometrik).

Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)? (Qiyamah:3) Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain). (Qiyamah:4)

Fikirkan kebesaran Allah mencipta kejadian buah-buahan pelbagai rasa, (masam dan manis) yang disiram daripada air yang sama :-

Ar’-Rad [4] Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa dan baunya). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.

Fikirkan kebesaran Allah mencipta jalan-jalan di langit yang boleh digunakan oleh kapal terbang.

Az-Zariyat [7] Demi langit yang mempunyai jalan-jalan yang berbagai bentuk keadaannya,

Banyak lagi kebesaran Allah yang tidak mampu kita senaraikan kesemuanya dan orang yang berakal akan memikirkan kebesaran Allah melalui ciptaannya.

Ali-Imran[191] (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

Ar-Ruum [8] Patutkah mereka merasa cukup dengan mengetahui yang demikian sahaja dan tidak memikirkan dalam hati mereka, (supaya mereka dapat mengetahui), bahawa Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu melainkan dengan ada gunanya yang sebenar dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu, (juga untuk kembali menemui Penciptanya)? Dan sebenarnya banyak di antara manusia, orang-orang yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/08/19/fikir-kebesaran-allah-di-10-akhir-ramadan-dan-di-malam-lailatul-qaqar/

SEDIKIT-SEDIKIT LAMA-LAMA JADI BUKIT, SAYANGILAH ALLAH DAN ZIKRULLAH

Tazkirah Jumaat
12 Ogos 2011 (12 Ramadhan 1432H)


SEDIKIT-SEDIKIT LAMA-LAMA JADI BUKIT

Rasulullah s.a.w. bersabda “Elakkan diri daripada dosa-dosa yang remeh (kecil) sesungguhnya ia berkumpul di atas seseorang sehingga ia membinasakannya (Haqaiqus Sunan 1/156).

Dosa-dosa kecil yang sedikit lama-lama akan menjadi bukit (dosa besar) sekiranya kita tidak memohon keampunan atau beristigfar memohon keampunan daripada Allah s.w.t

Telah diriwayatkan oleh Al Dailami daripada Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda, dosa besar tidak berkekalan jika diistighfarkan (mohon keampunan) dan dosa kecil akan kekal jika ia dilakukan secara beterusan (Khazinatul Asrar 1/83)

Setiap dosa atau maksiat menumbuhkan satu titik hitam dalam hati, sekiranya tidak dibersihkan dengan taubat atau istigfar, maka ia akan menutup cahaya iman dalam hati kita.

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Apabila dosa dilakukan secara berterusan dan tidak dicuci dengan istigfar, maka malaplah cahaya iman. Setelah cahaya iman itu malap, maka dosa yang besarpun dianggap kecil, sehingga ada yang berkata “aku cuma minum arak sekali seminggu je” atau “aku cuma tinggal sembahyang je”, sedangkan satu sembahyang yang ditinggalkan dengan sengaja itu akan menghentak kepala mereka sendiri sehingga pecah:

“Rasulullah s.a.w. diperlihatkan pada suatu kaum yang menghentak kepala mereka pada batu. Setiap kali hentakan itu menyebabkan kepala pecah, kemudian ia kembali kepada keadaan asal dan mereka tidak berehat daripada melakukannya. Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya “Siapa ini wahai Jibril”? Jibril menjawab: “Mereka ini orang yang berat kepala untuk menunaikan sembahyang fardhu”. (Riwayat Thabrani)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/08/07/sedikit-sedikit-lama-lama-jadi-bukit/


SAYANGILAH ALLAH DAN ZIKRULLAH

Sayangilah Allah, “sebut-sebutlah Allah” dan ingatlah Allah samada melalui zikir lidah, zikir hati atau berfikir tentang kebesaran Allah. Siapa yang menyayangi Allah, Allah menyayanginya. Siapa yang disayangi Allah diampunkan dosanya dan dimasukkan ke dalam Syurga.

Sayangilah 4 perkara iaitu Allah, Rasulullah, Agama Islam dan Orang Islam. Belajarlah 4 perkara iaitu Quran, Hadith, Akidah dan Fekah.

Siapa yang menyayangi sesuatu, dia akan sentiasa menyebutnya (melalui mulut) atau mengingatinya (melalui hati).

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Ahzab:21)

Dari Abu Darda ra bahwa Rasulullah saw bersabda :Mahukah kamu akan ku khabarkan akan suatu amal kebajikan yang paling baik bagi kamu, paling meningkatkan kedudukan kamu,paling disenangi oleh TuhanMu, bahkan lebih baik dari menafkahkan emas dan perak dan lebih mulia daripada perang dengan musuh-musuh kamu, baik ketika kamu kalah atau ketika kamu menang? Jawab mereka : Mahu, wahai Rasulullah. Sabda beliau: Berzikirlah kepada Allah sebanyak-banyaknya.(HR, Muslim,Tirmidzi,Ibnu Majah.

Berzikir boleh dilakukan sambil berjalan kaki, memandu kereta, bahkan sambil berbaring di atas tilam yang empuk pun boleh berzikir. Ramai juga yang masuk syurga VIP kerana berzikir di atas tilam yang empuk.

Abu Said Al-K hudri r. a memberitakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Berapa banyak orang yang di dunia ini mengingati ALLAH s.w.t di atas tilam yang empuk, yang kerananya Tuhan membawa mereka ke peringkat tertinggi di dalam syurga.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/01/05/sayangilah-allah-dan-zikrullah/


MELAYAN TETAMU MULIA BERNAMA RAMADAN

Rasullulah s.a.w. telah bersabda kepada sahabatnya “Telah datang kepadamu bulan Ramadan, penghulu segala bulan. Maka ucaplah selamat datang kepadanya. Telah datang bulan puasa yang membawa segala bentuk keberkatan, maka alangkah mulianya tetamu yang datang ini.( Riwayat At-Thabrani ).“

Tetamu ini datang membawa rahmat, ganjaran pahala dan tawaran keampunan.

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang merasa gembira dengan kedatangan bulan Ramadhan, Allah mengharamkan jasadnya dari jilatan api neraka” (Riwayat Bukhari)

Layanlah tetamu ini sebagaimana kita melayan kehendak tetamu yang datang bertandang ke rumah kita.

Jika tetamu kita menyukai sesuatu makanan atau masakan, maka kita sebagai tuan rumah akan menyediakan makanan mengikut selera mereka. Ini juga merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. dimana Baginda menyuruh kita memberi makan mengikut apa yang disukai oleh tetamu.

Jika tetamu Ramadan mahu kita menjaga mulut, mata, telinga dan kaki tangan daripada melakukan perkara keji dan maksiat, maka kita akan menurut kehendaknya dengan mengawal nafsu.

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa, maka janganlah dia melakukan sesuatu yang keji atau marah menjerit-jerit, kalau ada orang menghamunnya atau mengajaknya berkelahi, maka hendaklah ia (bersabar sambil) berkata (dalam hati atau dengan berterang-terang): Aku ini sedang berpuasa ..”. (Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)

Insyaallah jika kita melayani kehendaknya kita juga akan diampunkan dosa sepertimana dosa tuan rumah yang diampunkan setelah tetamunya pulang. Tetamu ini hanya datang setahun sekali, maka layanlah dia sebaik mungkin agar kita mendapat keampunan setelah ia pulang nanti.

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dalam keadaan mengetahui batas-batas larangannya, dan berusaha dengan bersungguh-sungguh menjaga diri daripada melakukan sesuatu yang merosakkan puasanya, (maka dengan itu) akan diampunkan dosanya yang telah lalu” (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan Ibn Hibban dalam kitab Sahihnya dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/08/01/melayan-tetamu-mulia-bernama-ramadan/

Friday, August 5, 2011

TERAPI RAMADHAN, TIDAK PERLU POCO-POCO UNTUK EXERCISE, CUKUPLAH ALLAH UNTUK KAMI (HASBUNALLAH WA NI’MAL WAKIL)

Tazkirah Jumaat
5 Ogos 2011 (5 Ramadhan 1432H)


TERAPI RAMADHAN

Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: ” .. berpuasalah nescaya kamu menjadi sihat (Hadith Riwayat Tabrani)

Banyak penyakit berpunca daripada perut iaitu daripada makanan. McFadon, seorang ahli kesihatan Amerika, menyatakan: “Setiap orang perlu berpuasa, kerana kalau tidak berpuasa maka dia akan sakit kerana racun makanan berkumpul dalam tubuh dan membuatnya seperti orang sakit, memberatkan tubuhnya, dan mengurangkan vitalitinya.“Apabila ia berpuasa, maka berat badannya menurun, dan racun-racun terurai daripada tubuhnya dan keluar, sehingga tubuhnya menjadi bersih secara sempurna dan sel-sel kembali baik”.

Menurut kajiannya, di antara manfaat kesihatan daripada berpuasa ialah:

  • Merehatkan tubuh dan memperbaiki saraf. Menyerap zat-zat yang mengendap di usus. Pengendapan dalam jangka waktu yang lama mengakibatkan perubahan endapan itu menjadi kotoran yang beracun.
  • Memperbaiki fungsi pencernaan dan penyerapan.
  • Mengembalikan virtaliti organ pembuangan, dan memperbaiki fungsinya untuk membersihkan tubuh, yang mengakibatkan terkawalnya kestabilan dalam darah dan berbagai cairan dalam tubuh.
  • Mengurai zat-zat yang berlebihan dan endapan di dalam jaringan yang sakit
  • Mengembalikan keremajaan dan vitaliti sel-sel serta berbagai jaringan dalam tubuh.
  • Menguatkan indera dan meningkatkan IQ.
  • Memperelok dan membersihkan kulit.

Alexis Carrel, pemenang hadiah nobel di bidang kedoktoran, dalam bukunya Man the Unknown menyatakan: “Banyaknya bahan makanan dapat melemahkan fungsi organ, dan itu merupakan faktor yang besar bagi berdiamnya jenis-jenis virus dalam tubuh.“Fungsi tersebut adalah fungsi adaptasi terhadap bahan makanan yang sedikit. Gula pada jantung bergerak, dan bergerak pula lemak yang tersimpan dalam kulit.“Semua organ tubuh mengeluarkan zat khususnya untuk mempertahankan keseimbangan dalaman dan kesihatan jantung. Berpuasa benar-benar memberikan dan pengganti jaringan tubuh kita”.

Sementara Prof. Nicko Lev dalam bukunya, Hungry for Healthy menyatakan: “Setiap orang mesti berpuasa dengan berpantang makan selama empat minggu setiap tahun, agar ia memperoleh kesihatan yang sempurna sepanjang hidupnya”.Seterusnya, menurut penelitian beliau, mukjizat penepatan waktu berpuasa dari matahari terbit hingga matahari terbenam, adalah dengan tidak berlebihan saat berbuka puasa. Penelitian ilmiah membuktikan bahawa jarak waktu yang tepat untuk berpuasa adalah antara 12 hingga 18 jam. Selepas itu, simpanan gula dalam tubuh mulai terurai.

Benarlah Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Berpuasalah kamu, tentu kamu akan sihat.”. Berpuasa memberi kerihatan kepada bahagian perut setelah bekerja selama 11 bulan.



TIDAK PERLU POCO-POCO UNTUK EXERCISE

Dalam hadith disebut “Sembahyanglah, nescaya sihatlah kamu. Sembahyang boleh menguatkan tubuh badan kerana dari segi zahir kerana terdapat banyak pergerakan dalam ibadah sembahyang seperti berdiri, rukuk dan sujud. Sembahyang berdiri juga lebih banyak pahala kerana lebih banyak pergerakan berbanding duduk atau tidur dan ia juga lebih menyihatkan badan. Ada orang sembahyang 70 rakaat sunat setiap hari tidak perlu jogging lagi untuk menjaga kesihatannya.

Rasulullah s.a.w. juga bersabda “Hadamkanlah makanan dengan berzikir kepada Allah dan sembahyang, janganlah kamu tidur dengan kekenyangan kerana ia boleh menyebabkan hati kamu menjadi keras (degil).

Banyak penyakit berpunca dari perut iaitu dari makanan. Berzikir dapat membantu menghadamkan makanan kerana dalam zikir ada pergerakan seperti menggoyangkan badan dan kepala, Selain itu sembahyang juga membantu menghadamkan makanan kerana dalam sembahyang banyak pergerakan seperti berdiri, rukuk, sujud.



CUKUPLAH ALLAH UNTUK KAMI (HASBUNALLAH WA NI’MAL WAKIL)

(Setelah tak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu. (As-Saffat:97)

Ketika Nabi Ibrahim diletakkan di tempat yang tinggi untuk diluncurkan ke dalam api, Malaikat Jibril telah menawarkan khidmatnya dan bertanya : “Adakah engkau mahu aku menyampaikan tentang ini kepada Allah swt?” Nabi Ibrahim menjawab: “Aku memerlukan Allah, bukan engkau”. Nabi Ibrahim mengucapkan “Hasbunallah wa ni’mal wakil”.

Bacalah “Hasbunallah wa ni’mal wakil”, zikir yang diucapkan oleh Nabi Ibrahim ketika baginda ditelanjangkan oleh orang-orang kafir yang mahu mencampakkannya ke dalam api sehingga api itu tiba-tiba menjadi sejuk dan tidak membakar tubuhnya.

Anbiya [69] Kami berfirman: Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!.

“Hasbunallah wa ni’mal wakil”, dan ini jugalah yang diucapkan oleh tentera Islam ketika perang Uhud, kemudian Allah s.w.t pun menolong mereka.

Ali-Imran [173] Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami..


KISAH DEBAT IMAM ABU HANIFAH DENGAN SEORANG ATHEIS, ZIKIR YANG BERPAHALA 2 JUTA, ADAB BERBUKA TAMBAH PAHALA PUASA

Tazkirah Jumaat
29 Julai 2011 (27 Syaaban 1432H)


KISAH DEBAT IMAM ABU HANIFAH DENGAN SEORANG ATHEIS

Pada suatu pagi, Imam Abu Hanifah yang ketika itu masih kanak-kanak telah mendapati gurunya itu berada dalam keadaan dukacita. Beliau pun bertanyakan sebabnya. Guru: Aku bermimpi melihat sebuah kebun yang sangat luas yang terhias. Terdapat sepohon pokok kayu yang berbuah. Kemudian, muncul seekor babi dari suatu penjuru kampung dan menyondol serta memakan buah-buah pohon tersebut sehingga habis dedaun dan buah-buah tersebut. Hanya tinggal batang kayu sahaja. Kemudian, muncul pula seekor harimau daripada umbi pohon tersebut lalu terus menerkam babi itu dan membunuhnya.

Imam Abu Hanifah: Allah Taala telah mengajarkan saya ilmu ta’bir mimpi. Saya mendapati mimpi ini baik bagi kita dan buruk bagi musuh kita. Jika Tuan Guru izinkan, bolehlah saya ta’birkannya.

Guru: Ta’birkanlah .Imam Abu Hanifah: Dusun luas yang terhias itu adalah agama Islam. Pohon kayu yang berbuah itu ialah para ulama. Batang kayu yang tertinggal itu ialah Tuan Guru sendiri. Babi yang muncul itu ialah si Atheis itu, manakala harimau itu yang membunuh babi tersebut ialah saya sendiri.

Tuan Guru: Bagaimana pula kalau orang tanya siapa kamu? Imam Abu Hanifah: Katakan saja saya ini budak pembawa kasut tuan.

Berangkatlah, saya akan turut menemani Tuan Guru. Dengan berkat hemat Tuan Guru dan berkat hadrat Tuan Guru, saya akan patahkan hujahnya. Tuan Guru bergembira dengan kata-kata Imam Abu Hanifah itu, lalu bertolak bersama ke Masjid Jami’. Kemudian, Khalifah tiba di samping orang ramai telah berhimpun di sana.

Si Atheis itu datang dan terus naik ke mimbar serta bertanya: Siapakah di kalangan kamu yang akan menjawab soalan-soalanku?

Imam Abu Hanifah menjawab: Nyatakan saja soalan kamu, orang yang tahu akan menjawabnya.

Antara 3 soalan yang didebatkan ialah:

1) Apa yang ada sebelum Allah ada? 2) Ke manakah Allah sedang menghadap sekarang? 3) Apakah yang dilakukan Allah sekarang?

Apa yang ada sebelum Allah?

Imam Abu Hanifah: Tiada sesuatu sebelum Allah. Buktinya ada pada anggota badanmu. Tiada sesuatu pun yang mendahului ibu jari tanganmu. Begitu jugalah dengan Allah Taala. Tiada sesuatu sebelum-Nya dan tiada sesuatu selepas-Nya.

Ke arah manakah Allah sekarang menghadapkan wajahnya?

Jika tuan menyalakan lampu pelita di dalam gelap malam, ke arah manakah sinar lampu itu menghadap? Atheis : Sinarnya menghadap ke seluruh arah dan penjuru. Abu Hanifah : Kalau demikian halnya dengan lampu yang cuma buatan itu, bagaimana dengan Allah Ta’ala Pencipta langit dan bumi, sebab Dia nur cahaya langit dan bumi.

Apakah yang dilakukan oleh Allah sekarang?

Imam Abu Hanifah: Cara engkau tidak betul. Sepatutnya orang yang menjawab mesti berada di mimbar dan orang yang bertanya berada di bawah. Aku akan menjawab jika aku berada di mimbar dan engkau pula di bawah. Si Atheis itu pun turun, Imam Abu Hanifah pula naik ke atas mimbar. Setelah beliau duduk, si Atheis itu pun bertanyakan soalan tadi. Imam Abu Hanifah menjawab: Inilah yang Allah Taala lakukan sekarang. Dia menggugurkan yang batil seperti kamu dari atas ke bawah dan menaikkan yang benar seperti aku dari bawah ke atas.



ZIKIR YANG BERPAHALA 2 JUTA

Dari Abdullah bin Abi Aufa r.a., Rasulullah saw. bersabda, Sesiapa membaca Laa ilaaha illallah wahdahu laa syariikalah ahadan somadan lam yalid walam yuulad walam yakun lahu kufuwan ahad, maka Allah akan menulis baginya dua juta kebaikan . (Riwayat Thabrani). Zikir ini mengandungi 2 bahagian iaitu:

1) Laa ilaaha illallah wahdahu laa syariikalah (Tiada tuhan yang layak disembah kecuali Allah, dan Allah itu Zat yang Maha Esa dan tiada sesuatupun yang menyamaiNya)

2)Ahadan somadan lam yalid walam yuulad walam yakun lahu kufuwan ahad.. yang juga kalimah daripada surah Al-Ikhlas (Qul huwallah). Yang Maha Esa. Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.

Di dalam zikir ini terdapat kalimah tauhid yang sangat berat timbangannya iaitu “Laa ilaaha illallah” dan juga ayat-ayat yang mengesakan Allah s.w.t.

Amalkanlah zikir ini sebelum tidur, selepas bangun tidur dan juga semasa berjaga malam mencari Malam Qadar (Lailatul Qadar).



ADAB BERBUKA TAMBAH PAHALA PUASA

RASULULLAH SAW mengajar umatnya adab ketika berbuka puasa antaranya menurut Ibn Umar, Baginda membaca doa yang bermaksud: "Hilanglah segala kehausan, segala urat sudah basah dan semoga tetap beroleh pahala dengan izin Allah." (Hadis riwayat Abu Daud)

Kita juga boleh berdoa apa saja yang dihajati kerana antara waktu yang mustajab (makbul) untuk berdoa adalah ketika berbuka seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Adab lain yang perlu diberi perhatian ialah menyegerakan berbuka. Waktu paling afdal ialah ketika matahari mula terbenam atau dilaungkan azan Maghrib. Utamakan berbuka daripada sibuk berzikir, membaca al-Quran atau ibadah lain kerana ia termasuk perintah Nabi SAW.

Berbuka dengan rutab, tamar atau air adalah sunnah Nabi. Rutab adalah kurma yang masak dan tidak dikeringkan, ia lembut dan manis. Tamar pula ialah kurma yang dikeringkan seperti banyak terjual di pasaran.