Friday, May 28, 2010

AL-KARIM, AR-RAQIB, BISMILLAH MILIKI PELBAGAI KELEBIHAN

Tazkirah Jumaat
28 Mei 2010 (14 Jamadil Akhir 1431H)


FADHILAT ASMAUL HUSNA

43. AL-KARIM Ertinya Mulia atau Yang Maha Pemurah.

“Ya Kariim!” Untuk mencapai darjat yang tinggi & mulia di dunia mahupun di akhirat kelak, maka amalkan zikir ini sebanyak 280 x ketika hendak masuk tidur. Nescaya Allah akan mengangkat darjat mereka yang mengamalkan zikir ini.

44. AR-RAQIB Ertinya Maha Pengawas

“Ya Raqiib!” Bagi meminta pertolongan kepada Allah terhadap penjagaan barang yang dikhuatirkan, maka zikirkan sebanyak 50 x setiap hari dengan niat agar barang-barang yang dikhuatirkan yang berada di tempat yang jauh & sukar dijaga terhindar dari sebarang kecurian mahupun gangguan lainnya. Bertawakkal & yakinlah kepada Allah. InsyaAllah….


BISMILLAH MILIKI PELBAGAI KELEBIHAN

Ayat Bismillah mempunyai pelbagai kelebihan dan keutaman tersendiri. Disebutkan di dalam hadis yang bermaksud : " Bahawa sesuatu perbuatan yang baik tanpa dimulai dengan Bismillah maka ia akan terputus dari rahmat Allah s.w.t. " Dalam satu hadis lain juga dinyatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Tiada seorang hamba yang mengucapkab Bismillah kecuali Allah s.w.t. memerintahkan malaikat yang bertugas mencatat amal manusia untuk mencatat dalam buku amalannya 400 kebaikan." Selain itu sesungguhnya Bismillah mempunyai pelbagai khasiat lain. Antaranya adalah :-

01. Barang siapa membaca Bismillah dan diikuti dengan lafaz, maka dia akan dihindarkan daripada 70 musibah, kesusahan, penyakit akal dan bebal.

02. Sesiapa yang mengamalkan membaca Bismillah sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, nescaya dia aman dan bebas daripada syaitan, kecurian. maut yang mengejut dan sebarang bencana.

03. Barang siapa membaca Bismillah ketika hendak bersetubuh (jimak) maka anaknya kelak akan menjadi orang yang cerdas dan terbuka hatinya sehingga anak-anak yang soleh.

04. Jika didapati seseorang yang sedang pensan, maka hendaklah dibacakan Bismillah sebanyak 41 kali pada telinganya, insya-Allah, dia akan sedar dan kembali siuman dengan serta merta.

05. Sesiapa yang membaca Bismillah sebanyak 313 kali dan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. sebanyak 100 kali pada hari ahad di saat matahari terbit dengan mengadap kiblat, maka Allah s.w.t. akan menganugerahkan rezeki tanpa diduga sama sekali.

06. Seseorang yang membaca Bismillah sebanyak 786 kali lalu ditiupkan pada air sebelum diberi minum kepada seseorang yang bebal selama tujuh hari sebelum matahari terbit, maka akan lenyaplah kebebalannya dan insya-Allah dia akan mudah hafal terhadap apa yang didengarnya.

07. Sesiapa yang membaca Bismillah sebanyak 50 kali dihadapan orang zalim atau penguasa yang bengis, maka dia akan segera tunduk atau ketakutan.

08. Barang siapa menulis Bismillah 101 kali lalu diletakkan di sawahnya, maka insya-Allah sawah itu akan menjadi subur dan terjaga daripada sebarang bencana.

09. Sesiapa yang menpunyai hajat kepada Allah s.w.t maka sebaiknya dia berpuasa pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat. Kemudian pada hari Jumaat itu, dia mandi sunat dan berwuduk sebelum berangkat untuk sembayang Jumaat dengan bersedekah semampunya.

Selepas sembayang Jumaat, dia hendaklah membaca satu doa yang bermaksud : Ya Allah, Sesungguhnya aku memohon kepada-mu dengan nama-Mu, dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, yang tiada Tuhan melainkan Dia, yang mengetahui yang ghaib dan yang terang, Dialah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

" Aku mohon kepada-Mu dengan namu-MU dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, yang tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup dan tidak pernah mengantuk apa lagi tidur (sampai akhir hayat). Dialah yang penuh kebesaran-Nya di langit dan di bumi.

" Dan aku memohon kepada-Mu dengan nama-Mu, dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, yang melutut kepadanya setiap wajah, tunduk kepada-Nya riqab (tengkok) dan khusyuk bagi-Nya setiap hari kerana terlalu takut, dan mengalir kerana-Nya air mata, berilah selawat serta salam, kepada penghulu kami Muhammad s.a.w. keluarga dan sahabatnya, dan berilah kepadaku apa yang ku hajati, tunaikanlah apa aku hajatkan ....... "

Insya-Allah apa yang menjadi hajatnya pasti akan dikabulkan oleh Allah s.w.t. dengan segala keizinan dan keagungannya.

10. Bagi seseorang yang ingin sentiasa dilapangkan dan dipermudahkan rezekinya serta mempunyai keberkatan luar biasa, disegani dan dimuliakan oleh makhluk, maka hendak membaca Bismillah sebanyak 66 kali dengan memanjangkan lafaz jalahannya dan membaca doa yang bererti :

" Ya Allah, bukakanlah bagiku pintu rahmat-Mu dan kurniaMu serta rezeki-Mu. Curahkanlah keatasku perasaan reda kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu. Mudahkalah untuk memperolehi rezeki-Mu dani sekalian makhluk-Mu, sesungguhnya Engkau berkuasa ke atas setiap sesuatu"

11. Untuk mengubati sesuatu penyakit, boleh diikhtiarkan dengan menulis Bismillah sebanyak 66 kali lalu diberi air diberi minum kepada orang yang berpenyakit dan orang yang terkena cubaan.

12. Untuk mengubati sakit pening pula hendaklah ditulsikan lafaz Bismillah sebanyak 21 kali ke atas kertas lalu dikalungkan kepada orang sakit kepala itu.

13. Bagi orang yang mengharap supaya hajatnya dikabulkan oleh Allah s.w.t. dia hendaklah membaca Bismillah selesai sembahyang Asar pada hari Jumaat dalam keadaan suci dari hadas dan najis dan menghadap kiblat sehinggalah matahari terbenam. Kemudian, mohonlah kepada Allah mengenai hajat yang dimintanya, insya-Allah dengan semalam kemurahan dan sifat Rahman dan Rahimnya akan dikabulkan Oleh Allah.

14. Barang siapa yang menulis lafaz Bismillah sebanyak 50 kali dengan huruf jawi lalu dibawa dan pergi ke depan orang zalim, maka dia kan terhindar daripada sebarang niat jahat itu. Ketika menghadapnya, hendaklah dia membaca Bismillah sebanyak 50 kali pula.

http://www.al-azim.com/~beringin/agama/bismillah.htm

Thursday, May 20, 2010

AL HASIIBU, AL JALIILU, BERTAUBAT SEBELUM 3 PERKARA, KALIMAH ZIKIR RINGKAS PADAT, DUKACITA MUKMIN

Tazkirah Jumaat
21 Mei 2010 (7 Jamadil Akhir 1431H)


FADHILAT ASMAUL HUSNA

41. AL HASIIBU : YANG MENGHISAB/MENGHITUNG

"Ya Hasiib!" Untuk memperteguhkan kedudukan yang telah kita jawat, amalkan zikir ini sebanyak 777 x sebelum matahari terbit & selepas solat Maghrib, InsyaAllah akan meneguhkan kedudukan kita tanpa sebarang gangguan.

42. AL JALIILU : YANG MAHA AGUNG DAN MULIA.

"Ya Jaliil!" Barangsiapa mengamalkan zikir ini pada sepertiga malam yang terakhir, InsyaAllah kita akan mendapati perubahaan yang mengkagumkan - perniagaan akan bertambah maju. Andai seorang pegawai, maka tanpa disedari kedudukan kita akan lebih tinggi dan terhormat & begitulah seterusnya dengan izin Allah.


BERTAUBATLAH SEBELUM DATANGNYA 3 PERKARA

Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (An-Nisaa: 110)

1. Bertaubatlah selagi nyawa dikandung badan dan belum sampai ke halkum.

Sabda Nabi s.a.w. lagi,”Bahawasanya ALLAH yang Maha Mulia lagi Maha Besar menerima ia akan taubat hamba selama belum sampai rohnya kepada halkumnya.” (Riwayat At-Tirmizi)

Taubat Firaun tidak diterima kerana nyawanya sudah sampai ke halkum pada masa itu, lalu Malaikat Jibril menyumbat mulutnya dengan pasir:

Dari Sa’id bin Jubeir dari Ibnu ‘Abbas radhiya’l-lahu ‘anhuma meriwayatkan: “dua orang Sahabat menghadap Rasulullah (menanyakan tentang Fir’aun). Sabda Nabi s.a.w: “Malaikat Jibril menyumbat mulut Fir’aun dengan pasir, khuatir kalau-kalau akan mengucapkan: la ‘ilaha illa’l-lah” (Shahih, HR. Turmudzi Hadis riwayat Abu Hurairah ra.)

2. Bertaubatlah sebelum matahari terbit dari sebelah barat.

“Siapa yang bertaubat sebelum terbit matahari dari arah barat, nescaya Allah terima taubatnya” [Hadits Riwayat Muslim]

Sesungguhnya Allah membentangkan tangan-Nya (rahmatnya) di malam hari untuk menerima taubat orang-orang yang bebuat dosa di siang hari, dan membentangkan tangan-Nya (rahmatnya) di siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa di malam hari, sampai matahari terbit dari arah barat”. [Hadits Riwayat Muslim].

Rasulullah saw. bersabda: Hari Kiamat tidak akan terjadi sebelum matahari terbit dari barat..

3. Bertaubatlah sebelum Al-Quran dihilangkan.

Selagi Quran masih ada selagi itu diampunkan dosa kita. Pintu taubat masih terbuka selagi ayat-ayat quran yang dihafal belum dihilangkan dari dada orang Islam. Abdulllah bin Mas’ud berkata, “Sungguh, kelak Al-Quran akan dicabut dari dada kamu, dalam satu malam, dihilangkan dari hafalan semua orang, sehingga di bumi ini tidak tersisa lagi sedikitpun.” (HR. Thabrani)

Quran akan diangkat secara sekaligus ke langit di waktu malam dan bunyinya sewaktu peristiwa itu berlaku seperti bunyi deruan lebah. (Bunyi ayat-ayat diangkat itu seperti bunyi lebah) Pada masa itu mereka ini akan terasa seperti ‘ada benda’ yang pernah mereka baca tapi mereka tidak mampu membacanya lagi kerana semuanya sudah hilang dari ingatan. Lalu mereka bersyair sepertimana kebiasaan Arab Jahiliyyah dahulu. Jika semua ini berlaku, ini bermakna kiamat sudah tersangat dekat.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/05/18/bertaubatlah-sebelum-datangnya-3-perkara/


KALIMAH ZIKIR YANG RINGKAS TETAPI PADAT

Dalam sebuah riwayat diceritakan bahawa Nabi Musa telah berdialog dengan Allah. Dalam dialog itu Nabi Musa berkata: Ya Allah, ajarlah kami satu kalimah yang dapat kami gunakan untuk berzikir dan berdoa kepadaMu.

Jawab Allah: ucapkanlah “Lailaha illallah...” Wahai Musa.

Maka kata Nabi Musa : Semua umatmu sudah mengucapkan kalimah itu wahai tuhan

Jawab Allah : Wahai Musa, andaikan langit yang tujuh beserta seluruh penghuninya, dan bumi yang tujuh ditimbang dengan kalimah “Lailaha illallah, nescaya masih berat “Lailaha illallah“

Zikir yang terbaik ialah Kalimatul Hak iaitu “La ila ha illallah sepertimana maksud hadith:

Dari Ibnu Abbas Radiallahu-Anhuma bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Demi yang diriku ditangannya (kekuasaannya), jika sekiranya segala langit dan bumi dan siapa yang ada padanya dan apa-apa yang ada di antaranya dan apa-apa yang ada di bawahnya diletakkan disebelah dacing dan kalimah La Ilaha Illallah disebelah yang lain, maka dacing kalimah (La Ilaha Illallah) itulah yang lebih berat”. (Riwayat Al-Imam At-Thabrani)

Kalimatul hak itu menunjukkan keesaan Allah. Kalau ada tuhan selain Allah, maka kita juga terpaksa memenuhi perintah tuhan yang lain. Jikalau ada 2 atau 3 tuhan (selain Allah), matilah kita bila tuhan-tuhan itu berperang antara satu sama lain.

Al-Anbiyaa [22] Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/05/10/kalimah-zikir-yang-ringkas-tetapi-padat/


DUKACITA SEBENAR SEORANG MUKMIN

Rasulullah s.a.w. bersabda “Orang yang paling besar dukacitanya ialah mukmin (orang yang beriman); dia berdukacita dalam perkara dunia sekaligus berdukacita dalam perkara akhirat ( Riwayat Ibnu Majah melalui Anas)

Sebenar-benar atau sebesar-besar dukacita ialah dukacita orang yang beriman, dia dukacita dalam urusan dunia kerana menghadapi kesusahan dalam mencari rezeki yang halal. Mukmin juga berdukacita dalam urusan akhiratnya kerana memikirkan nasib mereka di sana.

Daripada Abu Salamah bin Abbi Hurairah berkata; bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;”Antara begitu banyak dosa, ada sejenis dosa yang tidak dapat dikafarah dengan solat, puasa, haji dan umrah. Seorang sahabat bertanya; Apakah amalan yang dapat mengkifarahkannya ya Rasulullah? Nabi bersabda: Dosa itu dapat dihapus oleh kesusahan dan dukacita kerana kesukaran berusaha mencari nafkah hidup.”

Kesusahan tersebut, ialah kesusahan dalam mencari rezeki, lebih-lebih lagi dalam mencari rezeki yang benar-benar bersih dan halal dalam realiti kehidupan hari ini ia sentiasa bercampur diantara halal dan haram.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/05/14/dukacita-sebenar-seorang-mukmin/

Friday, May 14, 2010

AL HAFIIZ, AL MUQIIT, PENGHULU ISTIGHFAR, JENIS-JENIS SEDEKAH, BANYAKKANLAH BERZIKIR MENGINGATI ALLAH

Tazkirah Jumaat
14 Mei 2010 (30 Jamadil Awal 1431H)



FADHILAT ASMAUL HUSNA

39. AL HAFIIZ Ertinya Yang Maha Memelihara.

KHASIATNYA: “Ya Hafiiz!” Untuk menjaga keselamatan diri dari binatang buas atau dari hantu malam, dibaca zikir ini sebanyak 99 kali pasti akan diselamatkan dan terhindar daripada segala gangguan tersebut diatas.

40. AL MUQIIT Ertinya Maha Pemberi Keperluan.

KHASIATNYA: “Ya Muqiit!” Sekiranya kita berada di dalam kelaparan seperti ketika sesat di dalam hutan atau di mana sahaja sehingga sukar untuk mendapatkan bekalan makanan, maka perbanyakkan zikir ini. InsyaAllah badan kita akan menjadi kuat & segar kerana rasa lapar akan hilang.


PENGHULU ISTIGHFAR


Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hambaMu dan aku di dalam genggamanMu dan di dalam perjanjian setia (beriman dan Taat) kepadaMu sekuat mampuku. Aku berlindung kepadaMu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau. Amin

Penjelasan:

Sabda Rasulullah s.a.w.: Barangsiapa yang membacanya pada waktu siang dengan penuh keyakinan lalu dia mati sebelum petang maka ia termasuk ahli syurga. Dan siapa yang membacanya pada waktu malam dengan penuh keyakinan lalu dia mati sebelum pagi maka ia termasuk ahli syurga. (HR Bukhari)


JENIS-JENIS SEDEKAH

Sedekah yang kita tahu ialah mendermakan harta kita. Atau lebih khusus kita nampak perkataan sedekah hanya berkait rapat dengan wang ringgit, sedekah tabung masjid, sedekah pada anak yatim dan sebagainya.

Tetapi Baginda sangat banyak menyebut tentang jenis-jenis sedekah. Antaranya di dalam hadith ke 26 dalam kitab hadith 40 disebutkan oleh Baginda sebahagian dari jenis-jenis sedekah. Antaranya :

1. Mendamaikan saudara yang berselisih faham

2. Menolong saudara meringankan beban orang bermusafir

3. Menolong saudara mengangkat beg atau bebanan yang berat

4. Kata-kata yang baik

5. Langkah ke Masjid

6. Alih duri dari jalan (elakkan mudharat)

Banyaknya! Itu baru dari satu sumber hadith. Sebenarnya banyak lagi. Kita pun pernah dengar “senyumanmu pada saudaramu satu sedekah” juga termasuk dalam ciri sedekah.

Pendek kata, kita sedang bersedekah dan mendapat pahala dari Allah. Betapa pemurahnya Allah, walaupun kita tak tahu jenis sedekah (sebab tak belajar), Allah pasti memberikan balasan yang setimpal. Lebih-lebih lagi orang yang tahu apa yang dilakukan adalah dari bab sedekah, mestilah dia lakukan dengan bersungguh-sungguh.

Teringat pada kisah pada zaman sahabat nabi, orang-orang miskin mempersoalkan kepada Rasulullah tentang kelebihan orang yang berharta. Ini kerana orang berharta mereka beriman kepada Allah, dalam pada masa yang sama mereka dapat dermakan harta yang mereka miliki. Berbeza dari orang-orang miskin, beriman jua kepada Allah tetapi tidak mempunyai apa-apa untuk didermakan. Lalu Baginda mengajar lafaz tasbih (SUBHANALLAH) adalah sedekah, tahmid (ALHAMDULILLAH) itu sedekah, takbir (ALLAHUAKBAR) itu sedekah, tahlil (LAILAHAILLAH) itu sedekah. Jadi, itu sudah memadai dan dapat dilakukan oleh orang-orang yang tidak berharta.

Begitulah jua besarnya cabang bersedekah.

Cuma, disebut oleh Mahyuddin Misto dan Mustafa Bugho di dalam kitab AlWafi bahawa lebih afdal orang yang mempunyai harta lalu mendermakan harta tersebut berbanding orang yang bersedekah dengan cara yang selain mendermakan harta bendanya. Ini adalah soal kelebihan kepada orang-orang yang dikurniakan dengan kemewahan dan harta yang banyak tetapi tidak pernah lupa kepada segala nikmat yang Allah kurniakan.

http://mesrarakyat.wordpress.com/2010/05/10/jenis-jenis-sedekah/


BANYAKKANLAH BERZIKIR MENGINGATI ALLAH

Berzikir iaitu mengingati Allah ialah tanda kita menyayangi Allah. Seseorang yang menyayangi dan merindui seseorang banyak menyebut namanya atau mengingatinya di dalam hatinya.

Rasulullah s.a.w bersabda, siapa yang banyak mengingati Allah (zikir), Allah menyayanginya. (Riwayat Dailami dari Aisyah r.a).

Abu Said Al Khudri menuturkan bahawa Rasulullah saw bersabda :Hendaklah kamu banyak berzikir kepada Allah, sehingga orang orang mengatakan bahawa kamu telah gila. (Hadith Riwayat Al Hakim dan menilainya sahih, Ahmad,Ibnu Hibban dan Al Baihaqi)

Dari Abu Darda ra bahwa Rasulullah saw bersabda : Mahukah kamu akan ku khabarkan akan suatu amal kebajikan yang paling baik bagi kamu, paling meningkatkan kedudukan kamu, paling disenangi oleh TuhanMu, bahkan lebih baik dari menafkahkan emas dan perak dan lebih mulia daripada perang dengan musuh-musuh kamu, baik ketika kamu kalah atau ketika kamu menang? Jawab mereka : Mahu, wahai Rasulullah. Sabda beliau: Berzikirlah kepada Allah sebanyak-banyaknya.(HR, Muslim,Tirmidzi,Ibnu Majah.)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/05/10/banyakkanlah-berzikir-mengingati-allah/

Thursday, May 6, 2010

AL'ALIYYU, AL KABIIRU, LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH, BERISTIQAMAHLAH DALAM BERAMAL, APABILA HENDAK TIDUR

Tazkirah Jumaat
7 Mei 2010 (23 Jamadil Awal 1431H)


FADHILAT ASMAUL HUSNA

37. AL'ALIYYU Ertinya Yang Maha Tinggi Martabatnya.

KHASIATNYA : Apabila ditulis pada kertas (di dalam bahasa Arab bukan Bahasa Malaysia!!) dan direndamkan pada segelas air (tulisannya sebanyak 110 kali) kemudian airnya diminumkan kepada anak kecil, Insyaallah dia akan menjadi anak yang cerdas dan pandai.

38. AL KABIIRU Ertinya Yang Maha Besar

KHASIATNYA : “Ya Kabiir!” Bagi seseorang yang kedudukannya telah dirampas atau dilucut gara-gara sesuatu fitnah, maka bacalah zikir ini sebanyak 1,000 x selama 7 hari berturut-turut dalam keadaan suci sebagai pengaduan kepada Allah. Lakukanlah sesudah solat malam (tahajud atau hajat), Insyaallah akan dikembalikan lagi jabatannya, pekerjaannya selama bukan dipecat kerana kecurangan atau kerana makan hasil rasuah dan lain-lain.


LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH

Rasulullah s.a.w. bersabda : “Perbanyakkanlah membaca La Haula Wala Quwwata Illa Billah kerana sesungguhnya bacaan ini adalah ubat bagi 99 penyakit, yang mana penyakit paling ringan adalah kebimbangan” (Riwayat Al-Uqaili melalui jabir r.a.)

La Haula Wala Quwwata Illa Billah bermaksud tidak ada daya dan kekuatan kecuali kekuatan Allah. La Haula Wala Quwwata Illa Billah juga boleh mengubati penyakit lupa. Syaitan juga memainkan peranan dalam membuatkan manusia lupa. Berzikirlah untuk mengingati Allah, ucaplah kalimah La Haula Wala Quwwata Illa Billah agar Allah melindungi kita daripada gangguan syaitan yang menyebabkan kita lupa.

Mujadilah [19] Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah;

Semasa peristiwa Israk Mikraj, kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH.

Bahkan Allah jugalah yang memperjalankan Rasulullah s.a.w. pada malam itu. Tidak ada daya dan kekuatan melainkan daripadaNYa.

Isra [1] Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Semasa menjawab azan, pada perkataan hayya alas-solah (marilah mengerjakan sembahyang), maka pada kalimah ini, hendaklah kita mengatakan “la haula wala quwwata illa billah”(tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah). Orang yang mendengar azan pun tidak mampu ke masjid sekiranya tidak ada pertolongan dari Allah. Oleh itu mintalah pertolongan darinya dengan menyebut “la hau la wala quwwata illa billah..

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/05/06/la-haula-wala-quwwata-illa-billah-2/


BERISTIQAMAHLAH DALAM BERAMAL

Rasulullah s.a.w. bersabda “Beristiqamahlah, namun kamu tidak akan dapat menghitung nilai istiqamah. Ketahuilah, bahwa amalan kamu yang terbaik adalah solah (sembahyang). Yang dapat memelihara wudhu’ hanyalah mukmin (orang yang beriman)”. (HR Ahmad dan Ibnu Majah)

Beristiqamahlah iaitu tetapkanlah pendirian dan amalan. Sebaik-baik amalan yang istiqamah adalah sembahyang yang berterusan. Kerjakanlah sembahyang-sembahyang sunat disamping fardhu walaupun hanya sedikit bilangan rakaatnya tetapi lakukanlah secara berterusan. Sembahyang sunat itu dapat menampal kekurangan yang terdapat dalam sembahyang fardhu.

Hanya mukmin yang berkedudukan tinggi dapat istiqamah dalam memelihara wudhu’nya. Mereka ini akan mengulangi wudhu’ sekiranya terbatal dan sentiasa dalam keadaan berwuduk.

Amalan yang berterusan walaupun sedikit adalah perkara yang disukai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sebagaimana di dalam hadis ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata yang maksudnya :”Ditanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang amalan-amalan yang disukai oleh Allah. Baginda bersabda: “Amalan yang berterusan walaupun sedikit.”(Hadis riwayat Bukhari)

Rasulullah s.a.w. berkata “Aku ada masa aku untuk tuhanku”. Oleh itu peruntukkanlah masa yang khusus untuk berhubungan dengan Allah secara peribadi. Buatlah amalan atau wirid harian yang tetap walaupun sedikit, misalnya 10 minit setiap hari untuk berzikir atau istigfar kepada Allah. atau zikir “Laila ha illallah” 100 kali setiap sehari. Isilah masa dengan jadual atau program zikir supaya masa tidak terbuang begitu saja walaupun sedikit.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/05/06/beristiqamahlah-dalam-beramal/


APABILA HENDAK TIDUR

Adalah Rasulullah saw. apabila masuk ke tempat tidurnya, Baginda membaca : bismikallahumma ahya wa amut (Dengan keberkatan nama-Mu ya Allah hidupku dan matiku), (Riwayat Bukhari)

Rasulullah saw. bersabda: Apabila seseorang dari kamu masuk ke tempat tidurnya, maka hendaklah dia mengucapkan: “Dengan namamu, wahai Tuhanku, kerana Engkaulah aku membaringkan tubuhku dan kerana Engkau pulalah aku mengangkatnya. Apabila Engkau menahan (mencabut) jiwaku, maka kasihanilah ia dan apabila Engkau melepaskannya (menghidupkan) maka jagalah ia sebagaimana Engkau menjaga hamba-hamba-Mu yang soleh“.

Sepertimana firman Allah: Az-Zumar [42] Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya dan jiwa orang yang tidak mati: Dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).

Dalam hadith yang lain pula setiap hari jiwa (roh) menyeru kepada tuannya supaya jangan melakukan penderhakaan (perkara yang dimurkai Allah) Allah kerana ia (roh) akan menanggung siksanya. Roh itu merayu pada tuannya, tetapi tidak didengari. [ ]

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/05/04/apabila-hendak-tidur/