Friday, February 27, 2009

TJ : ADAB MEMBACA AL-QURAN

Tazkirah Jumaat
2 Rabiul Awal 1430H / 27 Feb. 2009

ADAB MEMBACA AL-QURAN
Seseorang yang membaca Al-Quran seolah-olah ia berada di sisi Allah S.W.T dan bermunajat kepadaNya maka hendaklah menjaga adab-adab yang tertentu yang layak di sisi tuhan Yang Maha Agong lagi Maha Mulia. Ulamak-ulamak muktabar telah menggariskan beberapa adab sebagai panduan seperti berikut:

1. Hendaklah sentiasa suci pada zahir dan batin kerana membaca Al-Quran adalah zikir yang paling afdal (utama) dari segala zikir yang lain.

2. Hendaklah membaca di tempat yang suci dan bersih yang layak dengan kebesaran Yang Maha Agong dan ketinggian Al-Quranul Karim. Para Ulamak berpendapat sunat membaca Al-Quran di Masjid iaitu tempat yang bersih dan mulia di samping dapat menambah kelebihan pahala-pahala iktiqaf.

3. Hendaklah memakai pakaian yang bersih, cantik dan kemas.

4. Hendaklah bersugi dan membersihkan mulut. Melalui mulut tempat mengeluarkan suara menyebut ayat Al-Quran. Hadis Rasulullah s.a.w berbunyi: Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya Al-Quran maka peliharalah dengan bersugi. Berkata Yazid bin Abdul Mallek: Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya Al-Quran maka peliharalah dengan bersugi.

5. Hendaklah melahirkan di dalam ingatan bahawa apabila membaca Al-Quran seolah-olah berhadapan dengan Allah dan bacalah dalam keadaan seolah-olah melihat Allah S.W.T. Walaupun kita tidak dapat melihat Allah sesungguhnya Allah tetap melihat kita.

6. Hendaklah menjauhkan diri dari ketawa dan bercakap kosong ketika membaca Al-Quran.

7. Jangan bergurau dan bermain-main ketika sedang membaca Al-Quran.

8. Hendaklah berada dalam keadaan tenang dan duduk penuh tertib. Jika membaca dalam keadaan berdiri hendaklah atas sebab yang tidak dapat dielakkan adalah harus.

9. Setiap kali memulakan bacaan lebih dahulu hendaklah membaca Istiazah: (A'uzubillahiminasy-syaitannirrajim). Kerana memohon perlindungan dari Allah dari syaitan yang kena rejam.

10. Kemudian diikuti dengan membaca basmallah: (Bismillahirrahmanirrahim). Hendaklah membaca Bismillah itu pada tiap-tiap awal surah kecuali pada surah At-Taubah.

11. Hendaklah diulang kembali membaca Istiazah apabila terputus bacaan di luar daripada Al-Quran.

12. Hendaklah membaca dengan Tartil (memelihara hukum Tajwid). Secara tidak langsung menambah lagi minat kepada penghayatan ayat-ayat yang dibawa dan melahirkan kesan yang mendalam di dalam jiwa.

Firman Allah S.W.T: Kami membaca Al-Quran itu dengan tartil. (Surah Al-Furqan: 32).

Hendaklah kamu membaca Al-Quran dengan tartil. (Surah Al-Muzammmil: 4)

Pengertian Tartil pada bahasa: Memperkatakan sesuatu perkara itu dengan tersusun dan dapat difahami serta tanpa gopoh-gopoh.

Menurut Istilah Tajwid ialah membaca Al-Quran dalam tenang dan dapat melahirkan sebutan huruf dengan baik serta meletakkan bunyi setiap huruf tepat pada tempat-tempatnya.
Saidina Ali k.w berkata: Pengertian tartil ialah mentajwidkan akan huruf-huruf Al-Quran dan mengetahui wakaf-wakafnya.

13. Hendaklah berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca sehingga dapat mengetahui tujuan Al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T.

Allah S.W.T. berfirman: Inilah Al-Quran yang memimpin jalan yang lurus. (Surah Al-Isra’: 9)

Firman Allah S.W.T.: Kami turunkan Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukminin. (Surah Al-Isra’: 82)

Firman Allah S.W.T. lagi : Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu dengan penuh barakah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran. (Surah Sad: 29)

14. Hendaklah menjaga hak tiap-tiap huruf sehingga jelas sebutannya kerana tiap-tiap satu huruf mengandungi sepuluh kebajikan. Hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi: Diriwayatkan dari Tirmizi dari Abdullah bin Masud daripada Rasulullah s.a.w telah bersabda sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (Al-Quran) maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.

15. Hendaklah membaca al-Quran mengikut tertib Mashaf. Dilarang membaca dengan cara yang tidak mengikut susunan kecuali diceraikan surah-surah dengan tujuan mengajar kanak-kanak adalah diharuskan.

16. Hendaklah berhenti membaca apabila terasa mengantuk dan menguap kerana seseorang yang sedang membaca Al-Quran ia bermunajat kepada Allah dan apabila menguap akan terhalang munajat itu kerana perbuatan menguap adalah dari syaitan. Berkata Mujahid: Apabila kamu menguap ketika membaca Al-Quran maka berhentilah dari membaca sebagai menghormati Al-Quran sehingga selesai menguap.

17. Hendaklah meletakkan Al-Quran di riba atau di tempat yang tinggi dan jangan sekali-kali meletakkannya di lantai atau di tempat yang rendah. Ubaidah Mulaiki r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Wahai kaum ahli-ahli Al-Quran jangan gunakan Al-Quran sebagai bantal tetapi hendaklah kamu membacanya dengan teratur siang dan malam.”

18. Hendaklah memperelokkan bacaan dan menghiaskannya dengan suara yang baik.
Sabda Nabi s.a.w dalam sebuah hadis: Telah bersabda Nabi Muhammad saw, hiasilah Al-Quran dengan suara-suara kamu.

19. Setiap bacaan hendaklah disudahi dengan membaca: (Sadaqallahul’azim).

20. Disunatkan berpuasa di hari khatam Al-Quran dan diikuti dengan mengumpul ahli keluarga dan sahabat handai bersama-sama di dalam hari khatam Al-Quran. Dalam sebuah hadis ada menjelaskan kelebihan orang yang telah khatam Al-Quran menerusi sebuah hadis yang berbunyi: Telah bersabda Nabi Muhammad s.a.w, sesiapa yang telah khatam Al-Quran baginya doa yang dimakbulkan.

http://adeqshah.multiply.com/journal/item/17

Tuesday, February 24, 2009

23 Feb 2009 : Ceramah Us. Hj. Ahmad Bin Hj. Abu Bakar

1. Us. Hj. Ahmad Bin Hj. Abu Bakar, mantan Pengetua PLIK yang pertama telah mengadakan ceramah di Masjid Jamek Pekan Kundasang pada 23 Feb 2009, selepas Solat Maghrib.


2. Ceramah kedua ini diadakan selepas beliau diemput khas oleh JAKIM untuk menghadiri Perasmian PLIK pada 21 Feb 2009. Beliau telah diraihkan dalam majlis perasmian itu melalui Jasamu Dikenang bersama mantan2 pengetua PLIK yang lain dan penduduk tempatan yang telah membantu usaha mengembangkan dakwah Islamiah di Kundasang. Penduduk tempatan tersebut ialah Ybhg. Datuk Mynoor Ginggor, En. Luqman Muhiman, En. Wahab Mat Akib, En. Almelur Dahlan, En. Suatin Mayor, En. Jaidin Mansun, En. Kawasa Kasimin, Ustazah Norain Masidin dan En. Roshman Ungking (9 orang).

3. Antara isi kandungan ceramah beliau, Islam adalah Agama Allah oleh itu kita jangan malu dan segan untuk mengamalkannya di mana jua kita berada.


22 Feb 2009 : Perasmian PLIK


1. Perasmian Pusat Latihan Islam Kundasang (PLIK) telah disempurnakan oleh TYT Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah Bin Abdullah pada 22 Feb 2009. Ketibaan perasmi di PLIK pada pukul 10.00 pagi.


2. Pembinaan PLIK atau dahulunya PLDK (Pusat Latihan Dakwah Kundasang) telah menelan belanja 15 juta ringgit dan semua bangunan adalah baru dimana bangunan lama (kayu) telah digantikan kerana kerosakan yang teruk akibat taufan yang kuat. Yang belum berubah adalah latar Gunung Kinabalu.

3. TYT juga pernah berkursus di sini 21 tahun (1988) yang lalu semasa masih berkhidmat dengan Jabatan Kerajaan.


4. Turut hadir adalah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Dr. Zahid Hamidi, Imam Masjid Negara, Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, mantan2 Pengetua PLIK, Pegawai Daerah Ranau dan ramai lagi.



5. Video perasmian PLIK.











Thursday, February 19, 2009

TJ : KELEBIHAN AL QURAN, TABUNG GAZA

Tazkirah Jumaat
24 Safar 1430 / 20 Feb. 2009

KELEBIHAN AL QURAN


1. Al-Quran ialah Kitabullah yang terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Al-Quran merupakan senjata yang paling mujarab yang melimpah ruah, mata air yang tidak mungkin kering, di dalamnya penuh dengan nur hidayah rahmat dan zikir.

2. Al-Quran diturunkan untuk mengajar manusia tentang pengesaannya kepada Allah (tauhid). Konsep ibadat yang jelas dan menyeluruh agar manusia sentiasa mendapat bekalan yang baru dan segar. Mengajak manusia berfikir tentang ciptaan, pengawasan dan penjagaan yang ditadbirkan oleh yang Maha Agong agar dapat mengenal sifat-sifatNya yang Unggul.

3. Di dalam Al-Quran dipaparkan juga contoh tauladan dan juga kisah-kisah yang benar berlaku sebelum turunnya Al-Quran dan pada masa penurunan Al-Quran. Dengan itu manusia mendapat pengajaran dan panduan dalam mengharungi kehidupan sebagai muslim yang sejati dan benar dalam semua bidang kehidupan.

4. Al-Quran menjelaskan juga persoalan tentang akhir kehidupan manusia, situasi terakhir yang akan dirasai oleh manusia sebelum bumi ini dihancurkan oleh Allah untuk bermulanya hari qiamat dan nasib tiap-tiap insan sama ada ke syurga atau ke neraka.

5. Sebelum Al-Quran diturunkan ada banyak kitab suci dan suhuf yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada nabi-nabi dan rasul-rasulNya. Antara yang termasyhur ialah kitab Zabur yang diturunkan kepada nabi Daud a.s, kitab Taurat yang diturunkan kepada nabi Musa a.s, dan kitab Injil yang diturunkan kepada nabi Isa a.s tetapi tidak syak lagi bahawa Al-Quran adalah kitab yang paling utama dan termulia di sisi Allah S.W.T.

6. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang berbunyi: Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan menjadi kemegahan kebanggaan umatku ialah Al-Quran yang mulia.

7. Al-Quran terpelihara dan susunannya tidak berubah-ubah dan tidak boleh dipinda atau dihapuskan. Walaupun banyak usaha dilakukan oleh musuh-musuh Islam untuk mengubah dan meminda isi kandungan Al-Quran atau memutar belit ayat-ayat dan surah-surah, setiap kali usaha itu dibuat ia tetap dapat diketahui termasuk juga usaha golongan-golongan kuffar.

8. Al-Quran adalah satu perlembagaan yang lengkap bagi semua aspek kehidupan, mengandungi semua yang dihajati oleh manusia walaupun sebahagian daripada huraiannya tidak terperinci. Tujuannya Allah menyuruh manusia menggunakan fikiran yang sihat dan sempurna untuk mencari dan mengkaji berpandukan saranan yang diberi oleh Allah S.W.T.

9. Dalam Al-Quran Allah S.W.T berfirman: Sesungguhnya telah datang kepada kau cahaya kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata kebenarannya dengan itu Allah menunjukkan jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya dan denganya Tuhan keluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang dengan izinNya dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang betul dan harus. (Surah Al-Maidah: 14 &15)

10. Firman Allah S.W.T lagi: Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya dan ianya menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa. (Surah Al-Baqarah: 2)

11. Sebuah hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi: Abu Zar r.a berkata bahawa beliau meminta Rasulullah s.a.w memberi satu pesanan yang berpanjangan. Rasulullah s.a.w bersabda: “Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber bagi segala amalan-amalan baik. Aku meminta supaya baginda menambah lagi. Tetapkanlah membaca Al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehdupan ini dan bekalan untuk hari akhirat.”

12. Kita dikehendaki membaca, mendalami dan menghayati isi kandungan Al-Quran kerana ia diturunkan bukan untuk dijadikan perhiasan sahaja, dengan itu kita mendapat faedah yang besar bukan sahaja pahala dan keredhaan Allah tetapi juga kegunaan lain dalam kehidupan sehari-hari.

13. Membaca Al-Quran dikira sebagai berzikir dan zikir membaca Al-Quran lebih afdal dan utama daripada zikir-zikir yang lain. Oleh itu membaca Al-Quran adalah sebagai ibadat tetapi tidaklah melebihi daripada ibadat-ibadat yang wajib.

14. Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda: Semulia-mulia ibadat umatku ialah membaca Al-Quranul Karim (ibadat yang bukan wajib).

15. Membaca Al-Quran disifatkan sebagai santapan rohani kepada tiap-tiap orang Islam. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis berbunyi: Sesungguhnya Al-Quran ini ialah hidangan Allah S.W.T maka hendaklah kamu terima hidangan Allah sebanyak mana yang kamu boleh.

16. Al-Quran juga merupakan senjata yang paling berkesan untuk membersihkan jiwa dan menyinarkannya. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda: Daripada Ibnu Umar r.a berkata: “Rasulullah s.a.w telah bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca Al-Quran.”

17. Orang yang selalu membaca Al-Quran semata-mata kerana Allah diberi kelebihan yang tinggi dan berbeza semasa mereka masih hidup ataupun sesudah berada di akhirat di samping kemuliaan yang dikurniakan kepada orang yang membaca Al-Quran kelebihan melimpah juga kepada kedua ibubapanya.

18. Hadis dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi : Sesiapa yang membaca Al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, ibubapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinarannya akan melebihi daripada cahaya matahari jika matahari itu berada di dalam rumah-rumahnya di dunia ini. Jadi bayangkanlah bagaimana pula orang yang dirinya sendiri mengamalkan dengannya.

19. Dalam hadis Rasulullah s.a.w baginda ada menyebut tentang orang yang tidak ada langsung membaca Al-Quran dan rongga mulutnya kosong dengan ayat-ayat Al-Quran seperti rumah yang kosong dari penghuni.

20. Sebaik-baik kamu yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain.

http://adeqshah.multiply.com/journal/item/17


KUTIPAN DANA UNTUK GAZA

Tabung 1 untuk RM1 hingga tabung 10 untuk RM10 SMSkan ke 32776. Dermalah dengan ikhlas atas nama kemanusiaan dan ajak keluarga dan kawan-kawan untuk menyumbang sama. Mungkin satu sen sumbangan anda dapat menyelamatkan nyawa anak Palestin. [ ]

Friday, February 13, 2009

TJ : Keajaiban Al Quran (Besi, Masa), Syafaat, Tabung Gaza

Tazkirah Jumaat
17 Safar 1430 / 13 Feb. 2009

KEAJAIBAN AL QURAN

1. KEAJAIBAN DALAM BESI

Besi adalah satu unsur yang disebutkan dalam Al-Qur'an dalam surah al-Hadid, yang bermaksud besi, kita dikhabarkan : “....Dan Kami telah menurunkan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia....” Surah al-Hadid : 25.

Perkataan 'diturunkan' khususnya digunakan untuk besi dalam ayat di atas difikirkan mempunyai satu pengertian metaforik untuk menerangkan bahawa besi diberikan untuk faedah kegunaan umat manusia. Tetapi apabila kita mempertimbangkan pengertian literalnya, perkataan ini akan bermaksud secara fizikal diturunkan dari luar angkasa, kita menyedari bahawa ayat ini menggambarkan satu keajaiban saintifik yang sangat-sangat signifikan.

Ini adalah kerana penemuan astronomi moden telah menyingkap bahawa besi yang wujud dalam dunia ini berasal dari bintang-bintang gergasi di luar angkasa. Unsur-unsur berat dalam alam semesta adalah dihasilkan di dalam nuklid bintang besar.


Sistem solar kita, bagaimanapun, tidak mempunyai struktur sesuai untuk menghasilkan besi baginya. Besi hanya dapat dihasilkan dalam bintang yang lebih besar daripada matahari, di mana suhu mencecah beratus juta darjah. Apabila amaun besi melebihi peringkat tertentu dalam sebuah bintang, bintang ini tidak dapat lagi menampungnya, dan akhirnya ia meletup dalam satu letupan yang dipanggil 'nova' atau 'supernova'. Sebagai satu hasil dari letupan ini, meteor yang mengandungi besi berserakan ke seluruh alam semesta, dan mereka bergerak melalui ruang di angkasa sehingga ditarik oleh daya graviti sesuatu jasad di cakerawala. Fenomena ini menunjukkan bahawa besi tidak dihasilkan di dalam bumi, tetapi dibawa dari bintang-bintang yang meletup dalam angkasa melalui meteor, dan telah 'diturunkan ke dalam bumi'. Dalam cara yang persis dengan apa yang dinyatakan dalam ayat; ianya jelas bahawa fakta ini tidak dapat diketahui secara saintifik dalam abad ke, ketika Al-Qur'an diwahyukan.

http://www.harunyahya.com/malaysian/keajaiban02.php

2. RELATIVITI MASA
Hari ini, konsep relativiti masa adalah merupakan satu fakta saintifik yang telah pun dibuktikan. Hal ini telah di dedahkan melalui Teori Relativiti Einstein seawal abad ke 20. Sebelum itu, manusia tidak mengetahui bahawa masa adalah satu konsep yang bersifat relatif, dan bahawa ianya boleh berubah bergantung kepada persekitaran. Akhirnya, saintis agung Albert Einstein secara terbuka membuktikan fakta ini melalui teori relativitinya. Dia menunjukkan bahawa masa adalah bebas dari jisim dan halaju. Dalam sejarah manusia, tiada seorang pun yang pernah menjelaskan fakta ini secara nyata. Meskipun dengan satu pengecualian; Al-Qur'an telah pun memuatkan maklumat mengenai kerelatifan masa!! Beberapa ayat mengenai subjek ini berbunyi.


"Dan mereka meminta kepadamu agar azab itu disegerakan, padahal Allah sekali-kali tidak akan menyalahi janjinya. Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun dari tahun-tahun yang kamu hitung. (Surah Al-Hadid: 47)

"Dia mengatur urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan) itu naik kepadaNya dalam satu saat yang kadarnya adalah seribu tahun menurut perhitunganmu". Surah As-Sajadah: 5)

"Para malaikat dan Jibril naik kepada Tuhan dalam sehari yang kadanya lima puluh ribu tahun". (Surah Al-Ma'arij: 4)

Dalam setengah ayat, ianya dijelaskan bahawa manusia merasakan masa secara berbeza dan kadang-kadang mereka boleh merasa suatu masa yang singkat seolah-olah suatu masa yang panjang. Perbualan manusia berikut yang terjadi sewaktu pengadilan mereka di Hari Kemudian adalah satu contoh yang baik dalam hal ini.

"Allah berkata: berapa tahun lamanya kamu tinggal dibumi?. Sahut mereka itu: kami tinggal sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang menghitungnya. Allah berkata: Kamu tiada tinggal (di dunia) melainkan sebentar saja jika kamu mengetahuinya. Surah Al-Mukminun: 112-114.

Fakta mengenai kerelatifan masa adalah sangat jelas disebutkan di dalam Al-Qur'an, yang dinyatakan pada tahun 610 adalah satu lagi bukti bahawa Al-Qur'an adalah sebuah kitab suci.

http://www.harunyahya.com/malaysian/keajaiban03.php


PEMBERI SYAFAAT (RECOMMENDATION)
8 Golongan yang boleh memberikan syafaat di hari Kiamat dengan izin Allah ialah:-

1. Quran (pemberi syafaat yang paling besar kerana ia adalah kalam Allah). Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” Dalam hadith yang lain pula “Pada hari Kiamat nanti, di hadapan Allah swt , bukan Nabi,bukan malaikat dan sebagainya“.tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Al-Quran

2. Para Malaikat. An-Najm[26] (Golongan yang musyrik mengharapkan pertolongan benda-benda yang mereka sembah itu) padahal berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan diredhaiNya.

3. Para nabi

4. Para ulama,

5. Para wali,

6. Sidiqin (orang-orang jujur),

7. Solehin (orang-orang soleh),

8. Hafiz (orang yang hafal al-quran dan yang beramal dengan ilmunya boleh memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya). Disebut dalam hadith: “Sesiapa yang membaca al-Quran dan menghafalnya, dia menghalalkan apa yang dihalalkan di dalam al-Quran dan mengharamkan apa yang diharamkan di dalam al-Quran, Allah akan memasukkan ke dalam syurga dan dia akan dapat memberi syafaat 10 orang ahli keluarganya yang semuanya adalah ahli neraka.”
Dalam hadith yang lain, Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya syafaatku untuk ummatku yang melakukan dosa-dosa besar. (kecuali mereka yang mati dalam keadaan syirik dan tidak bertaubat darinya)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/01/19/pemberi-syafaat-recommendation/


KUTIPAN DANA UNTUK GAZA

Tabung 1 untuk RM1 hingga tabung 10 untuk RM10 SMSkan ke 32776. Dermalah dengan ikhlas atas nama kemanusiaan dan ajak keluarga dan kawan-kawan untuk menyumbang sama. Mungkin satu sen sumbangan anda dapat menyelamatkan nyawa anak Palestin. [ ]

Thursday, February 12, 2009

11 Feb 2009 : Ceramah Tuan Hj. Ahmad Abu Bakar

Tuan Hj. Ahmad Hj. Abu Bakar telah mengadakan ceramah di Masjid Jamek Kundasang pada 11 Februari 2009 (Rabu), selepas Solat Maghrib. Beliau merupakan mantan pengetua pertama Pusat Latihan Dakwah Kundasang (PLDK) dari tahun 1987 - 1991.


PLDK sekarang ini dinamakan PLIK atau Pusat Latihan Islam Kundasang. Ceramah beliau dalam file mp3 akan diupload kemudian supaya kita boleh mendengar bersama-sama.







Thursday, February 5, 2009

TJ : FADHILAT AL- QURAN, SURUHAN MEMBACA AL-QURAN, KUTIPAN DANA UTK GAZA

Tazkirah Jumaat
7 Feb. 2009 (10 Safar 1430)

FADHILAT AL-QURAN


Hadith 1
Hazrat ‘Uthman R.A meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda, “yang terbaik di kalangan kamu ialah belajar Al-Quran dan mengajarkannya” (Hadith riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmizi, Nasai, dan Ibn Majah)

Hadith 2
Hazrat Abu Sa’id RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “ALLAH TAALA berfirman, “Jikalau sesiapa mendapati tidak ada masa untuk mengingatiKU dan berdoa kepadaKU kerana sibuk dengan al-quran maka aku akan mengurniakan kepadanya perkara yang terbaik yang AKU kurniakan kepada orang yang berdoa kepadaKU. Ketinggian perkataan ALLAH TAALA ke atas segala perkataan adalah seumpama ketinggian ALLAH TAALA ke atas segala makhluk (ciptaan NYA).” (Hadith riwayat Tirmizi, Darimi, dan Baihaqi)

Hadith 3
Hazrat ‘Uqbah bin Amir RA berkata, “Rasulullah SAW datang kepada kami sedang duduk di atas ’suffah’ dan bertanya, “Siapakah antara kamu yang suka pergi ke pasar Buthan atau ‘Aqiq setiap hari dan membawa pulang dua ekor unta betina daripada jenis yang terbaik tanpa melakukan satu dosa pun atau memutuskan (tali) silatur-rahim?” Kami menjawab, “setiap orang daripada kami akan menyukainya,” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seseorang pergi ke masjid dan mengajar atau membaca dua potong ayat daripada al-quran adalah lebih baik baginya daripada dua ekor unta betina, tiga ayat adalah lebih baik baginya baginya daripada tiga ekor unta betina, dan begitu juga empat potong ayat adalah lebih baik baginya baginya daripada empat ekor unta betina dan mengikut bilangan ayat-ayat yang sama dengan bilangan unta jantan (al-ibil).” (Hadith riwayat Muslim dan Abu Daud)

Hadith 4
Hazrat ‘Aishah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Seseorang yang ahli dalam al-Quran akan berada bersama malaikat pencatat yang mulia dan jujur. Seseorang yang membaca al-Quran dengan tersekat-sekat dan bersusah payah untuk membacanya akan mendapat dua ganjaran,” (Hadith riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmizi, dan Ibnu Majah)

Hadith 5
Hazrat ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidak dibenarkan sebarang hasad kecuali terhadap dua jenis orang. Seseorang yang ALLAH TAALA telah merahmatinya dengan pembacaan al-Quran maka dia berada dalam keadaan demikian siang dan malam dan seseorang yang dikurniakan harta dan dia membelanjakan harta itu (di jalan ALLAH TAALA) siang dan malam.” (Hadith riwayat Bukhari, Tirmizi, dan Nasai)

Hadith 6
Hazrat Abu Musa R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Perumpamaan seseorang mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau manis, berbau sedap dan rasa limau itu manis. Perumpamaan seseorang mukmin yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah tamar, sungguhpun tidak mempunyai bau namun berasa manis. Perumpamaan orang munafiq yang tidak membaca al-Quran adalah seumpama buah ‘peria pahit’, buah itu tidak mempunyai bau dan berasa pahit. Perumpamaan orang munafiq yang membaca al-Quran adalah seperti bunga ‘raihanah’, berbau harum, tetapi berasa pahit.” (Hadith riwayat Bukhari, Muslim, Nasai dan Ibnu Majah)

Hadith 7
Hazrat ‘Abdul Rahman bin ‘Auf R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Tiga perkara akan berada di bawah naungan ‘Arasy ALLAH TAALA pada hari kiamat. Pertama, al-Quran. Al-Quran akan berhujah dengan manusia dan al-Quran ini mempunyai zahir dan batin. Kedua, amanah. Ketiga, tali persaudaraan (silatur-rahim) yang akan mengisytiharkan, “ketahuhilah, sesiapa yang menghubungkan daku maka ALLAH TAALA akan menghubungkannya (dengan rahmatNYA), sesiapa yang memutuskan daku maka ALLAH TAALA akan memutuskannya (daripada rahmatnya).” (Hadith diriwayatkan dalam kitab Sharhussunnah)

Hadith 8
Hazrat ‘Abdullah bin ‘Amr R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “(Pada hari pengadilan kelak) akan dikatakan kepada orang al-Quran, “Bacalah al-Quran dengan tartil sebagaimana kamu telah membacanya di dunia dan naiklah (darjat demi darjat di dalam syurga). Sesungguhnya tempat (kedudukan) kamu adalah pada ayat terakhir yang kamu baca.” (Hadith riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud, Nasai, Ibnu Majah dan Ibnu Hiban dalam sahihnya.)

Hadith 9
Hazrat ‘Abdullah bin Mas’ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab ALLAH TAALA maka untuknya diberi satu ‘hasanah’ (kebaikan) sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan sepuluh pahala. Aku tidak berkata (’Alif, lam, mim) sebagai satu huruf tetapi (alif) adalah satu huruf, (lam) adalah satu huruf dan (mim) adalah satu huruf.” (Hadith riwayat Tirmizi)

http://sekolahatapaje.blogmas.com/category/200-fadhilat-al-quran/


SURUHAN MEMBACA AL-QURAN


An-Naml [90] Dan supaya aku sentiasa membaca Al-Quran. Oleh itu, sesiapa yang menurut petunjuk (Al-Quran dan beramal dengannya) maka faedah perbuatannya itu akan terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang sesat, maka katakanlah kepadanya: Sesungguhnya aku hanyalah seorang pemberi amaran.

Bacalah Al-Quran, hormatilah Al-Quran, kucupnya dan letaklah ia di tempat yang tinggi kerana ia adalah pemberi syafaat (recommendation) yang tinggi. Syafaatnya lebih tinggi dari syafaat Nabi Muhammad s.a.w. kerana ia adalah Kalam Allah sendiri.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Riwayat Muslim).

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Pada hari Kiamat nanti, di hadapan Allah s.w.t tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Al-Quran, bukan Nabi, bukan malaikat dan sebagainya”.

Jadikan amalan membaca quran sebagai satu rutin harian samada 1 helai, 1 muka atau sekurang-kurangnya 3 ayat.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2008/12/19/suruhan-membaca-al-quran/


KUTIPAN DANA UNTUK GAZA

Tabung 1 untuk RM1 hingga tabung 10 untuk RM10 SMSkan ke 32776. Dermalah dengan ikhlas atas nama kemanusiaan dan ajak keluarga dan kawan-kawan untuk menyumbang sama. Mungkin satu sen sumbangan anda dapat menyelamatkan nyawa anak Palestin. [ ]